01: Hujan
di depan sebuah kedai retail menjual peralatan muzik, kelihatan
seorang lelaki sedang menyapu di kaki lima di depan kedai tersebut.
dia bagaikan sedang menunggu seseorang, kerana kelihatan
dia sebenarnya bukan betul-betul menyapu.
dia mendongak memandang ke hadapan. wajahnya berubah bila dia
melihat sesuatu yang gamaknya amat menggembirakan, bagaikan
orang yang dah lama tak berjumpa dengan buah hati….
di seberang jalan seorang gadis memberhentikan basikalnya di
hadapan sebuah kedai buku. gadis itu berbaju kurung, dengan pantas
turun dari basikal tersebut dan menyorongnya ke dalam kedai.
‘ah, abby…’, fikir lelaki tersebut sambil tersenyum seorang.
“pian!”, jerit seseorang dari dalam kedai. pian bergegas masuk ke
dalam kedai sambil membawa penyapunya.
keesokan harinya, sekali lagi pian menunggu di hadapan kedainya
sambil menyapu kaki lima kedai yang sememangnya dah bersih
dari pukul 8 pagi lagi. dan dia menunggu kelibat seorang gadis
untuk lalu sambil berbasikal datang bekerja di kedai buku di seberang
jalan tersebut.
‘ah, abby…’, fikirnya sebaik melihat gadis tersebut memberhentikan
basikalnya di hadapan kedai buku tersebut. dan dengan pantas abby
menyorong basikalnya ke dalam kedai tersebut tanpa memandang ke
arah pian. dan pian sekali tersenyum keseorangan.
“pian!”, jerit seseorang dari dalam kedai muzik tersebut, dan sekali
lagi pian mengulangi proses masuk kembali ke dalam kedai tersebut
seperti mana yang dilakukannya setiap hari sejak dia mula bekerja
di situ selepas SPM.
dan sekali lagi keesokan harinya, pian menunggu di hadapan
kedainya. tetapi kenapa agaknya hari itu agak lain dari hari-hari
sebelumnya. cuaca agak mendung, dan pian masih menanti abby
untuk lalu di hadapan kedainya. gerimis mulai turun, dan abby
masih belum tiba. pian berhenti menyapu buat pertama kali sejak
tiga bulan tanpa di suruh.
dia kelihatan resah kerana abby masih belum tiba sungguhpun sudah
pukul 9.30 pagi. kedai buku roy sudah lama dibuka, dan hujan semakin
lebat. pian menjenguk ke simpang tempat abby selalu muncul.
pian mengeluh. bayangan abby masih tidak kelihatan. dan hujan
yang semakin lebat menyebabkan pian merasakan abby mungkin
tidak akan datang bekerja pada hari itu.
“hmmm… aku perlu carik kat mana dia tinggal,” katanya seorang diri.
“mungkin dia demam kot, kerana petang semalam panas sangat.
ditambah lagi hari pulak tiba-tiba sejuk dan hujan,” katanya lagi.
pian baru sahaja hendak masuk ke dalam kedai apabila dia terlihat
seorang gadis meredah hujan dengan pakaian yang sudah basah lecun.
tergerak dia sekilas pandangan melompat keluar dari kedai. abby!
“mana pulak basikal dia?” pian terfikir dalam hati.
“pancit kot. tak pun, lagi senang kalau jalan kaki. banyak tempat
teduh,” fikirnya lagi.
tiba-tiba seseorang menepuk bahunya dari belakang.
“pian!” jerit mak limah ke telinganya. “orang panggil dah banyak
kali dah.”
pian menggosok-gosok telinga kanannya yang baru sahaja digegarkan
dengan gelombang supersonik dari tekak mak limah. namun matanya
masih lagi melekat pada abby yang baru saja bergegas masuk ke
dalam kedai buku roy.
“apa dia mak limah?”
“dalam beg plastik ni ada baju kering. spare yang mak limah ada.
abang roy tu bukannya ada baju spare kat kedai dia. kesian abby
basah tu,” kata mak limah sambil menghulurkan beg plastik kepada
pian.
“errr”
“bagi laa dia baju ni. suruh pakai. lebih kurang anak mak limah gak.
pegi laaa bagi, alah… kau pun sebenarnya suka kat dia kan?”
pian tersengih. peluang yang baik ini tidak akan dilepaskannya. dia
baru sahaja hendak melangkah namun tiba-tiba terfikir, apa yang
hendak dikatakan? wajahnya menjadi serius secara tiba-tiba. pian
tercegat di hadapan pintu.
secara tiba-tiba dia gemuruh. dia memang berniat untuk menegur
abby sejak dulu lagi, tapi dia tak pernah terfikir untuk berbuat
demikian sekarang.
“aku memang tak pernah tegur dia…. macamana tiba-tiba aje nak
bagi baju ni? tak ke macam pelik tu?” fikir pian dalam hati.
“ah segan laaa mak limah. mak limah aje laaa yang bagi,” kata pian
kepada mak limah sambil menyerahkan kembali beg plastik itu kepada
mak limah semula.
mak limah hanya menggelengkan kepalanya. dia kembali ke belakang
kedai lalu mengambil payung. setelah itu dia bergegas meredah hujan
ke kedai buku roy. pian hanya melihat tanpa berkata apa-apa. dia hanya
tersenyum sendirian.
keesokkan harinya, seperti biasa pian menunggu di hadapan kedainya.
hari itu agak cerah berbanding semalam, tanpa ada sebarang tanda akan
hujan. pian mencongak bahawa dia akan menegur abby pada pagi ini.
dia pun bergegas membersihkan kaki lima kedai yang sememangnya
kotor pada hari ini.
“pian!” jerit mak limah dari dalam kedai.
‘apa hal pulak ni?’ fikir pian di dalam hati. abby belum sampai lagi dia
dah panggil dah. pian berlalu masuk ke dalam kedai tetapi dia kelihatan
agak resah. dia memandang jam di dinding yang menunjukkan jam 9.30
pagi. dia agak terkejut. abby masih belum sampai.
“ada apa mak limah?”
“tak payah tunggu budak tu. dia tak datang hari ni.”
“mana mak limah tahu?”
“dah sahlaaa budak tu demam, bodoh! tu lah, semalam aku suruh kau
pegi bagi baju kat dia, tapi kau yang menyombong. padan muka kau
tak dapat jumpa dia hari ni,” mak limah membebel panjang.
pian tercegat di tengah kedai. penyapu yang dipegangnya terasa amat
berat. dengan langkah yang perlahan dia menyimpan penyapu tersebut
kembali ke dalam stor.
“ingatkan nak tegur dia hari ni…. takpelah. harap-harap besok dia datang,”
pian berkata seorang.