07: Apehal ni?
pian melabuhkan punggungnya ke atas kerusi kosong di
meja kawan-kawannya. fikirannya masih lagi kelabu kerana
pertembungannya dengan abby bersama-sama dengan
abangnya sebentar tadi. dirasakan hatinya sakit, tapi tak
tahu kenapa.
dari rumah bertanya.
“takde apa. aku jumpa abang aku aje.”
“abang kau? yang main band tu? MANA?”
“hoi, rilek laaa, jangan kalut sangat!” manap, kawan pian
yang seorang lagi mendiamkan albert. albert hanya tersengih
dan angkat bahu.
pian mencapai air teh o ais limau di depannya. dia menghirup
minumannya sampai tersedak. albert terus bingkas bangun lalu
menepuk-nepuk belakang pian. sedikit air teh o ais limau
mengalir dari hidung pian.
“apehal ni kawan?” albert bertanya sambil menggosok-gosok
tengkuk pian.
“ah, tersedak. ada orang kutuk aku agaknya,” jawab pian
sambil menjeling ke arah abby dan abangnya. dilihatnya abby
sedang berjalan menuju ke arah masjid yang berdekatan sambil
membawa begnya. pian diam sejenak, bagaikan sedang
memikirkan masalah dunia.
tiba-tiba dia bingkas bangun, lalu berjalan ke arah masjid. “hoi,
nak ke mana pian?” manap menegur.
“masjid.”
manap tersengih. albert menepuk-nepuk belakang manap
sambil tersengih. “oi, kawan. lu pegi sembahyang laa. aku tunggu
sini.” manap terus bangkit dan menepuk bahu albert. dia terus
mengikuti langkah pian yang sedang menuju ke arah masjid.
pian tidak berkata apa-apa. dia hanya mempercepatkan
langkahnya apabila menyedari manap mengikutinya. tanpa
soal banyak manap terus menyusuli pian di belakang. fikirnya,
pian nak solat cepat supaya boleh ke gig itu lebih awal.
sampai di masjid, pian terus bingkas mengambil wuduk dan
menyusuli saf yang telah terbina. manap berasa janggal kerana
dia tidak bercadang untuk solat maghrib di masjid. maka
terpaksalah dia membuka t-shirtnya yang bergambar kepala hantu
lalu diterbalikkan. beberapa ketika kemudian manap juga menyusul
di sebelahnya.
selesai solat maghrib, manap terus terkejar-kejar keluar dari dewan.
pian hanya diam. dia duduk di tepi tangga bagaikan menunggu
seseorang. manap bagaikan kucing kehilangan anak kerana
berkeliaran ke hulu ke hilir di sekitar tempat kasut.
“kenapa ni, manap?”
“kasut aku hilang…” jawab manap lemah. pian terkejut bercampur
lawak. dia menggeleng-geleng kepala, lalu membantu manap mencari
kasut redwingnya yang hilang. manap bagaikan orang putus asa. dia
hanya berdiri bercekak pinggang, dengan mulutnya kumat kamit memaki
pencuri kasut itu.
ketika dia sedang sibuk memaki hamun pencuri kasut itu, pian ternampak
dari ekor matanya abby menuruni tangga belakang masjid, iaitu melalui
tempat wuduk wanita. dia hanya mengekori abby dengan matanya.
apabila abby lalu berhampiran dengan tempat pian berdiri, timbul hasrat
di hati pian untuk menegurnya.
“abby,” tegur pian. abby memberhentikan langkahnya lalu menoleh.
matanya terpaku pada pian.

namun kedua-dua mereka hanya mendiamkan diri. pian tidak dapat
meneruskan kata-katanya. entah kenapa lidahnya kelu. abby hanya
menunggu. tetapi dia sendiri tak pasti kenapa dia menunggu kata-kata
yang bagaikan takkan keluar dari bibir pian. manap yang berdiri di belakang
pian merasa pelik melihat gelagat kawannya yang tak henti merenung
seorang gadis yang berdiri tidak jauh dari mereka.
bagaikan seketika tadi di meja gerai, keadaan menjadi hening.
walaupun keadaan semakin gelap, pian dan abby masih berdiri merenung
ke dalam mata masing-masing.
manap terkedu di tepi aksi.
seketika kemudian, beberapa orang pak aji berlalu berhampiran mereka.
seketika itu juga abby mengalihkan pandangannya dari mata pian lalu
melangkah laju, kembali ke arah gerai di mana din dan rizuan sedang
menunggu.
pian tertunduk lemah. entah kenapa dia tak terdaya nak berdepan lagi
dengan abby. walaupun semalam perempuan itu menengkingnya semalam,
dan dia dengan beraninya membidas, dia tak pasti kenapa pada kali ini dia
tak mampu berkata apa-apa.

“hoi bodoh! kasut aku macamana?” tiba-tiba manap menyergah lamunan
pian.
pian hanya mengangkat bahu. dia tak mahu berkata-kata. dia merasakan
bagaikan lidahnya pada hari itu telah diikat. manap mendengus kuat. rasa
marahnya tak tertahan. geram dan marah. tetapi sekurang-kurangnya
kasut itu dibeli di kedai bundle. AH! tapi kasut tu susah nak carik! tanpa
fikir panjang dia terus menyarung selipar jepun yang terletak di ceruk rak
kasut, lalu pantas aje menarik tangan pian untuk pergi dari situ.
“aku nak kena carik kasut ni,” dengusnya sendirian.
“nanti kita boleh tanya abang aku, biasanya dia ada banyak spare kat
backstage,” pian memecah kekeluan lidahnya.
manap hanya mendengus sekali lagi. sedang berjalan itu, dia ternampak
albert sedang membaham tauhu bakar sendirian. amboi! makan tak ajak
kawan! tak boleh jadi nih! “hoi, melantak sorang aje!” sergahnya.
marahnya belum reda.
“apehal ni kawan?”
“ah, ko ape tau!”
pian mengangkat bahu. dia menuding ke arah selipar jepun yang dipakai
manap. albert tergelak besar. merah padam muka manap menahan marah.
rasa nak dicampak sahaja cermin mata yang dipakai oleh albert.
pian hanya tersenyum. dia menjeling ke arah din, rizuan dan abby yang
sedang bergerak meninggalkan gerai. dia menghela nafas panjang.
ah, abby…